Ramadhan Kareem^_^


Assalamualaikum~~
alhamdulillah, saya dan anda masih lagi bernafas..menghirup udara percuma dari Allah..
moga kita sama2 sntiasa berada dalam kasih sayang dan rahmatNya^_^
iAllah,sy hnya akn copy n paste je..hehe..ni dr senior sy di sekolah dl..
dia byk tag sy di facebook..kalo kalian nak baca yang lain2..silalah..dan beliau pesan kalau saya ditag maksudnya ia hak milik saya..yg bermaksud saya dan kalian juga dibenarkan untuk buat apa2 dengan notes tersebut=)

FIRMAN Allah yang bermaksud:
Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (jawablah) bahawa Aku adalah dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran.

(Surah al-Baqarah, ayat 186)

Sheikh al-Maraghi menjelaskan, apabila Allah menuntut hambanya mengenai kefarduan puasa Ramadan, menyempurnakan bilangannya serta menggesa supaya bertakbir untuk persiapan bersyukur, ayat ini sebagai dalil bahawa Allah bersifat Maha Mengetahui keadaan dan Maha Mendengar segala doa mereka.

Sayid Qutub pula berkata, sebelum rangkaian ayat ini meneruskan penerangannya tentang hukum mengenai masa puasa, batasan merasai kenikmatan puasa dan peraturan imsak, kita dapati ia mengemukakan satu tarikan kepada persoalan jauh di sudut jiwa dan rahsia hati manusia.

Sebab turunnya ayat ini, Nabi SAW mendengar orang Islam berdoa kepada Allah dengan suara yang tinggi dalam peperangan Khaibar. Lantas Nabi SAW bersabda kepada mereka yang bermaksud: Hai manusia, perlahankan suara kamu dalam berdoa kerana kamu tidak berdoa kepada yang pekak dan tidak kepada yang ghaib. Sesungguhnya kamu berdoa kepada yang Maha mendengar, dekat dan bersamamu.

Selain itu, Ibnu al-Jauzi ada menyebut pendapat lain berkenaan turunnya ayat ini, iaitu seorang Badwi datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: Adakah Tuhan kita hampir untuk munajat atau jauh untuk menyeru? Kemudian turunnya ayat ini.

Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan, Allah menjelaskan bahawa Dia adalah dekat. Dia memperkenankan doa orang yang memohon dan memenuhi sebarang hajat orang yang meminta. Tidak ada tirai pendinding antara Allah dengan salah seorang hamba-Nya. Oleh itu, mereka sewajarnya menghadap hanya kepada-Nya dalam berdoa, merendahkan diri, lurus dan memurnikan ketaatan kepada-Nya semata-mata.

Prof Hamka menyatakan di penghujung ayat ini, jadikanlah bulan puasa sebagai bulan penuh ibadat, membaca al-Quran, solat dan berdoa. Oleh kerana doa amat penting dan menjadi otak daripada ibadat, maka Allah berkenan memberitahu mengenai doa dan bagaimana sambutan-Nya jika hamba-Nya berdoa menyeru nama-Nya dan memohon sesuatu hajat. Oleh sebab itu, Allah dekat dengan hamba-Nya, maka hendaklah berdoa dan memohon kepada Allah dengan ikhlas dan tidak perlu bersuara keras mahu pun bertempik menyeru nama-Nya.

Lantaran dekatnya Allah dengan manusia, maka tidak perlu perantaraan atau wasilah antara manusia dengan Allah, berdoa dan memohon langsung terus kepada Allah. Malah, Allah hampir pada seseorang yang menarik nafasnya yang penghabisan menunggu saat-saat kematian sebagaimana firman Allah bermaksud: Dan Kami adalah lebih dekat kepadanya daripada kamu, akan tetapi kamu tidak melihat.

(Surah al-Waqiah, ayat 87)

Melaksanakan ibadat puasa, seseorang Muslim dilatih dalam keadaan beribadat dan berdoa. Pada masa sama, apabila semakin bertambah makrifahnya kepada Allah, maka semakin bertambahlah ikhlas dan tawakal kepada-Nya.

Natijah daripada latihan dilalui seseorang yang berpuasa terhadap jiwanya dan imannya adalah dia semakin dekat dengan Allah SWT. Lantaran, hampirnya dengan Allah itu yang menyebabkan doanya mudah dikabulkan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Tidaklah seorang Muslim berdoa kepada Allah, yang doa itu tidak bermaksud dosa dan tidak bertujuan memutuskan silaturahim, melainkan Allah SWT pasti akan memperkenankan doa itu melalui tiga cara, iaitu doa itu akan diperkenankan dengan serta merta, ada kalanya doa itu disimpan dan ditangguhkan dulu untuk persediaannya pada hari akhirat dan ada kalanya dijauhkan dan dipalingkan daripada kejahatan yang seumpama dengannya.

(Hadis riwayat Bukhari)

Menariknya, ibadat doa termasuk dalam ayat puasa sekali gus bermaksud doa orang berpuasa itu lebih dekat dikabulkan Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Bagi orang yang berpuasa itu sewaktu hendak berbuka puasa adalah doa yang mustajab.

(Hadis riwayat Abu Daud)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: Ada tiga orang yang doanya tidak akan ditolak, iaitu doa pemerintah yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka puasa dan doa orang dianiayai. Akan diangkat doa itu oleh Allah ke atas awan pada hari kiamat kelak dan akan dibukakan baginya pintu langit, lalu Allah berfirman: Demi kemuliaan-Ku, sesungguhnya Aku akan tolong kamu walaupun dalam masa yang sekejap saja.

(Hadis riwayat Ahmad, Nasai, Tirmizi dan Ibnu Majah)

0 comments: